Tuesday, July 5, 2011

Hukum Air Liur Basi

Assalamualaikum,

Telah diketahui status air basi adalah najis, jadi soalan saya apakah harus kita setiap kali bangun perlu kita periksa di cermin samada air liur basi ada di sekeliling mulut kita atau tidak kerana kerana khuatir ia akan mencemarkan tempat2 yang lain jika kita tidak segera mencuci nya. Lagi apakah amalan orang tua2 yg menggalakkan minum air masak apabila bangkit sahaja daripada tidur dianggap sebagai menelan najis sekali jika terdapat air liur basi di mulut sebaik sahaja bangkit dari tidur.Terima kasih.

Jawapan:

Air Liur Basi yang keluar ketika seseorang tidur tidak dikira sebagai najis berdasarkan pandangan sebahagian ulama. Hal ini demikian kerana hukum asal bagi sesuatu yang keluar dari anak Adam adalah suci melainkan jika terdapat dalil yang menunjukkan sebaliknya, berdasarkan hadis Nabi SAW:


إن المؤمن لا ينجس

Mafhumnya: “Sesungguhnya seseorang mukmin itu tidak najis.” (Hadis riwayat al-Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya).

Oleh yang demikian air liur, peluh, tahi mata, hingus, kahak dan seumpamanya dikira suci, kerana inilah hukum asalnya.

Kerana itu di dalam kitab al-Raudh al-Murbi’ dari mazhab Hambali dinyatakan:

ومني الآدمي طاهر، ورطوبة فرج المرأة كالعرق والمخاط والبلغم -ولو أزرق- وما سال من الفم وقت النوم



Maksudnya: “Dan air mani manusia adalah suci, demikian juga lembapan faraj wanita, sama juga seperti peluh, hingus dan kahak –sekalipun menjadi warna biru – dan apa yang mengalir dari mulut (air liur basi) ketika tidur (semuanya adalah suci).”

al-Imam Abu Ishak Burhan al-Din bin Muhammad bin ‘Abdullah al-Hambali berkata di dalam al-Mubdi’ fi Syarh al-Muqni’:


وما سال من الفم وقت النوم طاهر في ظاهر كلامهم


Maksudnya: “Dan apa yang mengalir dari mulut sewaktu tidur adalah suci berdasarkan zahir perkataan mereka (beberapa ulama mazhab Hambali).”

Namun begitu terdapat beberapa ulama yang berpandangan cecair yang keluar dari perut adalah najis. Oleh yang demikian mereka berpandangan air liur basi yang keluar dari perut dihukumkan sebagai najis. Al-Imam al-Nawawi dari mazhab al-Syafie di dalam kitabnya yang masyhur al-Majmuk menyebut pandangan al-Syeikh Abu Muhammad al-Juwainiy di dalam kitabnya al-Tabsirah fi al-Waswasah menyebut:


ما يسيل من اللهوات فهو طاهر ومنه ما يسيل من المعدة فهو نجس بالاجماع وطريق التمييز منها ان يراعي عادته فان كان يسيل من فمه في أوائل نومه بلل وينقطع حتى إذا طال زمان النوم انقطع ذلك البلل وجفت شفته ونشفت الوسادة فالظاهر انه من الفم لا من المعدة وان طال زمان النوم وأحس مع ذلك بالبلل فالظاهر أنه من المعدة وإذا اشكل فلم يعرفه فالاحتياط غسله هذا كلام الشيخ أبي محمد

Maksudnya: “Apa yang keluar dari (dari mulut manusia) yang terdiri dari perkara-perkara yang keluar tanpa tujuan ia adalah suci, dan apa yang keluar dari perut ia adalah najis dengan ijmak. Jalan membezakannya (sama ada keluar dari mulut atau perut) iaitulah dengan meraikan kebiasaan, sekiranya cecair itu keluar dari mulut pada permulaan tidur kemudian berhenti, sekalipun tidur itu berterusan dalam tempoh yang lama dan cecair itu terhenti, sehingga kering bibir dan bantalnya, maka yang zahir ia menunjukkan air liur basi itu keluar dari mulut bukan dari perut. Sebaliknya jika panjang masa tidur dan disertai dengan rasa basah (air liur basi yang keluar), maka yang zahirnya ia keluar dari perut. Namun sekiranya menimbulkan kesamaran, maka sebagai langkah berhati-hati bolehlah membasuhnya, inilah perkataan al-Syeikh Abu Muhammad.”

Al-Imam al-Nawawi RH selepas menukilkan perkataan al-Syeikh Abu Muhammad ini, beliau menyebut:


وسألت انا عدولا من الاطباء فانكروا كونه من المعدة وانكروا على من أوجب غسله والمختار لا يجب غسله الا إذا عرف انه من المعدة ومتى شك فلا يجب غسله لكن يستحب احتياطا وحيث حكمنا بنجاسته وعمت بلوى انسان به وكثر في حقه فالظاهر أنه يعفى عنه في حقه ويلتحق بدم البراغيث وسلس البول والاستحاضة ونحوها مما عفى عنه للمشقة والله اعلم

Maksudnya: “Saya sendiri telah bertanya dengan beberapa doktor perubatan yang adil, maka mereka menafikan adanya air liur basi keluar dari perut, dan mereka juga menolak sesiapa yang mewajibkan membasuhnya (air liur basi), dan pandangan yang terpilih ialah tidak wajib membasuh air liur basi yang keluar melainkan jika telah dipastikan ia keluar dari perut, apabila ragu, maka tidak wajib membasuhnya, akan tetapi ia hanya sunat sebagai langkah berhati-hati, sekiranya jika kita hukumkan ia sebagai najis, tetapi ia ia termasuk di dalam perkara Umum al-Balwa (yang tersebar, kerap berlaku dan sukar dihindarkan), maka yang zahir ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan sepertimana darah serangga, Salis al-Baul, al-Istihadhah dan seumpamanya yang termasuk dalam perkara yang dimaafkan kerana akan menimbulkan kesukaran. Wallahu a’lam.”

wallahu a'lam.

0 comments: